Friday, May 28, 2010

Kesalahan Umum Penggunaan Bahasa (bhgn 2)

KATA SENDI NAMA

-Kata sendi nama ialah kata yang terletak di hadapan frasa nama.
-Kata sendi sangat penting dalam komunikasi lisan atau tulisan kerana menjadi
penghubung antara kata nama dengan kata nama dan kata nama dengan kata kerja.
-Apabila kata sendi salah digunakan, atau ditiadakan, maka makna akan berubah sama
sekali.
-Antara kata sendi yang lazim digunakan:

akan antara oleh
pada sejak dari
tentang daripada dalam
demi untuk bagi
seperti terhadap bagai
ke sampai di
dengan hingga untuk
kepada umpama laksana

Penggunaan kata sendi nama secara tidak formal(bahasa pasar)
1.Dia tinggal kat Kg. Y.
(Dia tinggal di Kg. Y)

2.Buku tu kat saya.
(Buku itu ada pada saya)

3.Tolong kirim salam kat Ali.
(Tolong kirim salam kepada Ali)



Kesilapan Penggunaan Kata Sendi Nama
"di"

SILA GUNAKAN PNTU DISEBELAH

DI LARANG MAKAN DAN MINUM DI DALAM SURAU

Kata sendi nama “di” tidak boleh digunakan dihadapan kata nama atau frasa nama yang menerangkan waktu, masa atau zaman. Contohnya :

Salah Betul
di abad ke – 19 pada abad ke-19
di saat ini pada saat ini
di zaman ini pada zaman ini
di ketika itu pada ketika itu
Di musim tengkujuh pada musim tengkujuh.

2.Penggunaan kata sendi “ke”


Digunakan untuk:

1.Tempat/arah - (Mereka menuju ke arah timur.)

Benda konkrit - (Kesungguhan Zainab mendidik
tak bernyawa Zami selama ini sia-sia ibarat mencurah air ke daun keladi)
Masa/ waktu - (Sehingga ke hari ini, cintanya masih membara.)
- (Dia tersenyum hingga ke saat akhir.)

Kata sendi “ ke “ tidak boleh digunakan untuk manusia. Cth:
- (Hadiah itu diberikannya ke Ali.)


Gabungan kata sendi “dari” dan “ke”


Kata sendi “dari ” juga digunakan untuk mengimbangi kata sendi nama “ke”.

.....dari masa ke masa.
.....dari harike sehari

Kesilapan yang sering dilakukan:

Dari masa ke semasa.
Dari hari ke sehari.
Dari detik ke sedetik.


3.Kesalahan penggunaan KSN “kepada”

Digunakan untuk:

Benda bernyawa - (Nasi itu diberikan kepada Comel.)
- (Motor Kris dihadiahkan kepada Ali.)

Benda abstark - (Kini rakyat Malaysia hendaklah memberi tumpuan kepada pemulihan
ekonomi negara kita.)

Perubahan keadaan- (Keadaan tenang di stadium hoki `bertukar kepada keadaan riuh
rendah setelah Pasukan Malaysia menjaringkan gol pertamanya.)

Pecahan - (Para peserta dibahagikan kepada empat kumpulan.)


4.Kata sendi “dari” dan “daripada”

“dari” digunakan dalam hal yang menunjukkan arah, masa dan tempat = ATM

Budaya hedonisme telah menular dalam masyarakat kita sejak dari abad ke-19 lagi.

Pak Mat duduk di warung kopi dari pagi hingga ke petang.

Dari mana datangnya sayang, dari mata turun ke hati.


Kata sendi “daripada” digunakan untuk hal yang lebih umum seperti:

orang - (Kain itu diterima daripada Ali.)

Perbandingan - (Adi lebih tinggi daripada abangnya.)

Asal kejadian - ( Asal benang daripada kapas.)

Bahagian tertentu – (Kumpulan Delima terdiri daripada enam orang.)


5.Kekeliruan penggunaan kata sendi “bagi” dan “untuk”

Penggunaan kedua-dua kata ini boleh bertukar ganti untuk menyatakan maksud atau kegunaan sesuatu;

Cth

Bunga ini bagi/untuk kumbang itu.

Konsert ini diadakan bagi/untuk tujuan mengutip derma.

Namun terdapat kekecualian penggunaan kata sendi “bagi” apabila melibatkan kata kerja:


Kata sendi nama “untuk” boleh digunakan bagi tujuan kata kerja.

* Namun kata sendi nama “bagi” tidak boleh digunakan untuk kata kerja.

Contoh penggunaan:

Dia menelefon saya untuk menanyakan hal itu. (betul)
Dia menelefon saya bagi menanyakan hal itu. (salah)

Tempayan digunakan untuk menyimpan air. (betul)
Tempayan digunakan bagi meyimpan air. (salah)


Penggunaan kata sendi“demi untuk”

1.Perjuangan rakyat Palestin demi untuk membebaskan negara daripada cengkaman Zionis.

2.Kutipan derma dilakukan demi untuk meringgankan bebanan kewangan keluarga mangsa.


“demi” dan “untuk” berfungsi sebagai kata sendi nama.


Oleh sebab kedua-duanya tergolong dalam golongan kata yang sama, iaitu sendi nama, dan membawa makna yang sama iaitu untuk, maka penggunaan dua perkataan secara berderetan dianggap kurang tepat, seperti dalam ayat 1 & 2.


Perjuangan rakyat Palestin demi untuk membebaskan negara daripada cengkaman Zionis

Dalam kes “demi untuk” , mengikut peraturan tatabahasa bahasa Melayu adalah tidak tepat kerana dua kata sendi nama tidak boleh dideretkan seperti dalam ayat-ayat yang dibincangkan di atas dan dianggap melanggar peraturan tatabahasa.


6.Kekeliruan penggunaan kata sendi “di dalam” dan “dalam”

cth :
DI LARANG MAKAN DAN MINUM DI DALAM SURAU

Kata sendi ‘dalam’ digunakan di hadapan kata nama atau frasa nama yang membawa pengertian ‘lingkungan yang tidak mempunyai ruang atau jarak’ (seperti perkara, peristiwa, hal, urusan, bahasa, bidang, masyarakat dan sebagainya). Penggunaan yang betul adalah seperti dalam frasa berikut:
1.Dalam hal ini, saya bersetuju.
2.Keretanya rosak dalam perjalanan ke Kuala Perlis.
3.Persoalan itu bermain-main dalam fikirannya.



Kata sendi ‘di dalam’ pula digunakan di hadapan kata nama atau frasa nama yang membawa pengertian ‘tempat yang mempunyai jarak atau ruang yang dapat dikenal pasti kedudukannya’.

Penggunaan frasa sendi di dalam adalah seperti berikut:

1.Semua pelajar diminta berkumpul di dalam dewan.

2.Tanda harga ada di dalam dan di luar kotak.



7.Kekeliruan penggunaan kata sendi ‘antara’ dan ‘di antara’

Frasa sendi “di antara” hanya digunakan untuk menunjukkan:
kedudukan fizikal
arah.
Contoh:

Tambak Johor terletak di antara Johor Bahru dengan Singapura.

Lif itu terhenti di antara tingkat tiga dengan tingkat empat.


Manakala kata sendi ‘antara’ digunakan untuk:
membuat perbandingan
ungkapan umum.

Penggunaan antara dalam bentuk ungkapan umun adalah seperti berikut:

Antara dia dan aku ada persamaan. (ungkapan umum)

Banyak perbezaan antara Fatimah dengan Rahmah. (perbandingan)


8.Penggunaan kata sendi “oleh, oleh kerana dan dengan”

Kata sendi nama ‘oleh’ digunakan selepas kata kerja pasif berawalan di- dan ter-.

Bola itu ditendang oleh Ali.

Kata sendi “ oleh “ juga digunakan untuk menyatakan

manusia iaitu diikuti oleh kata nama. Contoh:
Majlis Bicara Bahasa itu dirasmikan oleh Tun Ismail.
Lukisan itu dilukis olehnya.


Penggunaan kata hubung “ kerana”


‘Ini kerana ibunya sakit.’

‘Ini kerana kita tidak mempunyai kepakaran yang tinggi dalam bidang bioteknologi.’

Persoalan?

Bolehkah ayat- ayat seperti di atas digunakan?

Jikalau tidak boleh, mengapa, dan bagaimanakah penggunaan yang betul?


“Kerana” ialah kata hubung yang berfungsi untuk mencantumkan dua ayat.

Misalnya ayat ’Dia tidak datang kerana ibunya sakit.’

Dalam ayat ini, “kerana” menghubungkan ayat induk (Dia tidak datang) dengan ayat kecil keterangan (ibunya sakit).


Ayat yang bermula dengan “Ini kerana ...”, seperti dalam ayat: “Ini kerana ibunya sakit”, adalah tidak tepat, disebabkan perkataan “kerana” tidak boleh berfungsi sebagai predikat kepada subjek “ini”.

Maka ayat ini patut diubah supaya “kerana” benar-benar berfungsi sebagai kata hubung. Contohnya:

“Hal ini demikian kerana ibunya sakit”.

Penggunaan ”oleh kerana” dan ”oleh sebab”

Adakah kata ”oleh kerana” dan ”oleh sebab” boleh digunakan dalam bahasa Melayu?

Dalam ayat yang melibatkan kata sendi nama, frasa yang bermula dengan kata sendi nama mesti diikuti oleh kata nama.

Kata sendi nama dalam frasa “oleh kerana” dan “oleh sebab”, ialah “oleh”.

Yang menjadi persoalan ialah, apakah golongan kata “kerana” dan “sebab”?

“Kerana” dan “sebab” tergolong sebagai kata hubung.

Ayat “Dia tidak datang kerana ibunya sakit”, misalnya, boleh juga menjadi “Dia tidak datang sebab ibunya sakit”.


“Sebab” boleh menjadi kata hubung dan kata nama. Contoh ayat::

Budak itu menangis sebab dipukul ibunya. (kata hubung)
Berikan lima sebab yang munasabah kelewatan awak hari ini. (kata nama)


Tetapi “ kerana” tidak boleh bertindak sebagai kata nama. Cth:
Berikan lima kerana awak tidak hadir ke sekolah.


Jadi , oleh sebab hendaklah digunakan, bukan oleh kerana.

Dan tiada kata sendi “oleh kerana” dalam tatabahasa bahasa Melayu.


Penggunaan kata sendi nama “dengan”
Digunakan untuk maksud:

1.Bersama
(Farid membawa diri dengan hati terluka.)

2.Perbandingan
(mereka selalu bergaduh bagai anjing dengan kucing.)

Kesan/ cara
(Abu melepaskan geramnya dengan menjerit sekuat-kuat hatinya.)
Alat
(Pak Mat memukul ular dengan buluh.)


9.Penggunaan kata sendi nama ‘akan’
Kata sendi nama “akan” digunakan sebagai pelengkap kata adjektif yang menyatakan perasaan seperti sedih, kasih, benci, sayang, takut dan sebagainya.

Kata sendi “akan” tidak boleh disingkatkan menjadi “-kan” dan digabungkan dengan kata adjektif.

Kesalahan yang kerap dilakukan:

Saya sayangkan keluarga saya.
Saya takutkan hantu.

Sepatutnya

Saya sayang akan keluarga saya.
Saya takut akan hantu.


LATIHAN

Betulkan kesalahan penggunaan kata hubung, penggunaan imbuhan,ejaan, struktur ayat (ayat tergantung) dan tanda bacaan dalam petikan ini.

SOALAN 1

            Kempen Bijak berbelanja keluarga bahagia dilancarkan kerajaan ialah bertujuan mengalakan masyarakat supaya bijak dalam merancang belanja ketika membeli barangan. Melalui kempen ini, masyarakat beri kesedaran dalam pembelian barangan keperluan mereka.

           Masyarakat diberi kesedaran pengetahuan dan nasihat dalam membeli barangan yang kualiti, membeli barangan dengan harga  yang patut dengan banding harga barangan lain ketika membeli-belah. Masyarakat yang diberi dedah tentang bijak berbelanja, membolehkan mereka merancang belian dan pebelanjaan mereka. Mereka tidak akan beli barangan yang kurang. Kami akan menjadi pembeli yang bijak iaitu memilih barangan yang sama jenis sambil barangan yang berkualiti dengan harga yang berpatutan.

            Masyarakat yang diberi sedar melalui kempen bijak berbelanja akan menjadi pengguna yang berjimat cermat dalam perbelanjaan mereka. Kami tidak akan bazir wang  kami dan membeli barangan yang mahal dan tidak kualiti.

            Pengguna yang bijak adalah pengguna yang pandai rancang perbelanjaan mereka berjimat cermat bila membeli dan kami akan membandingkan harga barangan yang sama, membeli barangan yang mempunyai kualiti harga yang berpatutan.



SOALAN 2
  Pencemaran alam sekitar berpunca daripada pencemaran udara, pencemaran air dan pencemaran bunyi. Pencemaran udara berlaku akibat asap kenderaan, asap bakaran sampah-sarap, asap kilang dan jerebu akibat bakaran hutan.

       Buangan sisa toksid dan bahan kumuhan mengakibatkan sungai dan laut cemar. Manakala pencemaran bunyi berlaku akibat bunyi bising daripada jentara, bunyi kenderaan dan bunyi daripada kilang.

    Pembuangan sampah yang tidak atur terutama pembuangan sampah di dalam sungai menyebabkan air sungai tercemar. Ikan-ikan  dalam sungai mati akibat air yang kotor.

   Berbagai langkah telah jalan demi untuk mengatasi masalah pencemaran seperti ketat undang-undang, mengenakan denda tentang pehak yang melakukan pencemaran alam sekitar. Kempen Cintai Sungai Kita dan Kitar Semula Bahan Buangan terlaksana untuk menyedarkan masyarakat. Kempen Kitar Semula sedar masyarakat mengitar semula bahan buangan seperti ; kertas, surat khabar, botol plastik dan tin minuman. Kitar semula bahan buangan dapat kurang sampah-sarap bertaburan merata tempat dan bahan buangan dapat diproses dan guna semula. Cogan kata Negara Bersih Rakyat Sehat juga menyedarkan masyarakat supaya sentiasa menjaga  kebersihan sekitar mereka.


 

2 comments:

Unknown said...

dari semasa ke semasa or dari masa ke masa , which one is right?

Goh Pei Luan said...

Both correct. Same meaning

Post a Comment