Thursday, May 27, 2010

Kefahaman teks prosa dan puisi

OBJEKTIF
*Mengenali pelbagai genre teks prosa dan puisi Melayu.
*Menambahkan kosa kata bahasa Melayu dengan menggunakan laras sastera yang indah dan
halus seperti kiasan, metafora, simile, personafikasi, hiperbola, pengulangan,
perlambangan, peribahasa dan lain-lain.
*Memahami makna implisit dan eksplisit dalam teks prosa dan puisi.
*Memahami nilai-nilai yang terdapat dalam teks puisi dan prosa.
*Dapat mengalih bahasa dan merumuskan teks prosa dan puisi dengan menggunakan gaya dan
laras bahasa yang sesuai.



Jenis-jenis teks
*Prosa
-novel, cerpen dan drama.

*Puisi (moden dan tradisional)
-karangan yang berangkap seperti:
-Syair
-Pantun
-Gurindam
-Sajak (moden)
-dll

*Proses penciptaan puisi/sajak begitu akrab dengan budaya masyarakat Melayu dan
selalunya mencerminkan budaya dan pemikiran masyarakat tersebut.
*Puisi tradisional merupakan cerita rakyat yang dahulunya disampaikan secara lisan
yang mengungkapkan ciri-ciri budaya masyarakat dan milik koletif masyarakat
penuturnya seperti syair, seloka, gurindam dan pantun dan lain-lain.
*Penciptaan sesebuah puisi mempunyai sebab dan akibatnya.
*Tujuan puisi/sajak khususnya puisi tradisional dicipta pada zaman  tersebut ialah
untuk tujuan:
-Pendidikan
-Nasihat dan pengajaran
-Sindiran
-Hiburan/jenaka
-Berkomunikasi
-Perubatan
-dll



1. Sindiran
Seloka Emak Si Randang
Baik budi emak Si Randang,
Dagang lalu ditanakkan,
Tidak berkayu rumah diruntuhkan,
Anak pulang kelaparan,
Anak di pangku diletakkan,
Kera di hutan disusui.

(Warna Sari Sastera Melayu Tradisional, 1996:339


2.Hiburan/jenaka

Lebuhraya kota bersegi
Tempat temasya dara teruna
Hodohnya ketawa orang tak bergigi
Ibarat kota tiada kubunya

3.Nasihat dan pengajaran

Pengajaran/nasihat
apabila terpelihara mata
sedikitlah cita-cita

Apabila terpelihara kuping
Khabar yang jahat tiadalah damping
(Gurindam fasal ke-13)


4.perubatan

Mentera pengasih

Tembakau Si Raja Ali,
Rendang kuali sudu,
Aku pintal engkau seperti tali,
Akumemakai kasihan rindu,
Terindu-rindu aku,
Terendang-rendangkan aku,
Tidur siang terlihat-lihat aku,
Tidur malam termimpi-mimpikan aku,
Berkat aku memakai kasihan rindu

Prof. Mohd Taib Osman, Warisan Puisi Melayu, hlm. 163.


Untuk memahami sesebuah teks prosa dan puisi beberapa aspek dasar iaitu:

medan makna (isi)
medan kata (bahasa)
medan rasa (teknik).

1.Medan makna (isi/idea)

merujuk kepada perkara yang membantu menjelaskan gambaran idea penyair atau isi sesebuah puisi.


Persoalan
Persoalan-persoalan khusus dan sampingan dalam puisi.

Perutusan/Amanat/mesej/pengajaran
Gagasan nilai yang hendak disampaikan oleh pengarang.

Maksud
Maksud tersurat (eksplisit)
Maksud tersirat ( implisit)



2.Medan Kata (Bahasa)
Aspek penting perlu disentuh antaranya:
Diksi
Frasa
Konotatif
Eufemisme


1.Diksi
Diksi ialah pemilihan dan penyusunan kata dalam puisi. ( Ialah perkataan yang digunakan penyajak/penulis dalam puisi/cerpen.

Penggunaan kata/perkataan dlm sajak selalunya dalam bentuk:
Istilah asing BI, Arab, Indonesia dll
memberikan kesan dan gambaran sebenar sajak yg dihasilkan

Dialek
Singkof (kependekan) seperti “Apa dah jadi pada dunia kini.”

Perlambangan.
Merupakan   kata-kata yang digunakan untuk menerangkan sesuatu benda, keadaaan, atau peristiwa yang membawa maksud yang lain (maknanya lebih mendalam).
Kata yang membawa makna yang lain daripada yang lyang tersurat.
Contoh:
Warna

Merah - berani, bahaya, cemas, garang, gelora
Putih - suci bersih, harapan, gembira, mengaku kalah
Hitam - kotor, durjana, jahat, sengsara, celaka, hantu, noda
Hijau - muda, baru, harapan, segar, ramaj, cemburu
Biru - rindu, dendam, kasih, cinta
Kuning - bangsawan, kesultanan, keemasan, ketinggian, sakti,keangungan

Masa

Senja - peralihan dari bahagia kepada sengsara atau derita, bimbang,keluh kesah,
peralihan ke usia tua
Malam - derita, sengsara, kecewa, putus asa, tiada harapan, kecelakaan dan
kemusnahan
Fajar - harapan baru, peralihan duka kepada bahagia
Siang - harapan, ketenangan, permulaan dan bahagia
Pagi - hidup baru

Alam

Embun -kemurnian dan harapan

Api -perang, bahaya, marah, kejahatan dan cabaran

Laut dan ombak -dada yang lapang dan alam yang luas

Angin -perubauhan, pengaruh,dan berita

Burung gagak -kejahatan dan bencana

Burung merpati -kedamaian dan kebebasan

Kumbang -lelaki, teruna

Mawar, bunga atau kembang- wanita,gadis dan perawan.



Konotatif
Maksud yang lain daripada maksud asal(tersurat)
Makna tersirat. Cth:
Bunga ini tanah tumpah darah kita…

Eufemisme
Ungkapan atau kiasan yang halus dan tidak mengandungi makna yg kasar.

Contoh ungkapan ‘kamu hampir lulus’ ialah ungkapan eufemisme utk maksud ‘kamu memang gagal.’


contoh puisi

"Embun"
oleh M. Ghazali

Embun hatinya berkaca
kejauhan paginya
embun hatinya berkata
ia diliputi senja.

Dadanya ada embun
tapi bukan untuknya.

Embun hatinya berkaca
dingin embun dinoda.

Kuala Lumpur, 5 Mac 1959.
Bunga Merah, 1977.



Contoh ini ialah kata “ Embun". dalam sajak ini, digunakan untuk melambangkan suatu perkara yang lain.

Embun di sini mungkin membawa maksud harapan dan sebagainya.
(Menurut analisis Shahnon Ahmad, embun di sini merujuk kepada kemerdekaan negara kita.Namun Muhammad Haji Salleh yang menganggap sajak ini sebagai sajak kabur kerana lambang embun itu tidak dapat dikaitkan dengan sesuatu perkara yang lain dengan mudah.)


Ke Makam Bonda Karya Sasterawan Negara Allahyarham Usman Awang Kami mengunjungi pusara bonda Sunyi pagi disinari suria Wangi berseri puspa kemboja Menyambut kami mewakili bonda Tegak kami di makam sepi Lalang-lalang tinggi berdiri Dua nisan terkapar mati Hanya papan dimakan bumi Dalam kenangan kami melihat Mesra kasih bonda menatap Sedang lena dalam rahap Dua tangan kaku berdakap Bibir bonda bersih lesu Pernah dulu mengucupi dahiku Kini kurasakan kasihnya lagi Meski jauh dibatasi bumi


Nisan batu kami tegakkan Tiada lagi lalang memanjang Ada doa kami pohonkan Air mawar kami siramkan Senyum kemboja mengantar kami Meninggalkan makam sepi sendiri Damailah bonda dalam pengabadian Insan kerdil mengadap Tuhan Begitu bakti kami berikan Tiada sama bonda melahirkan Kasih bonda tiada sempadan Kemuncak murni kemuliaan insan


Menolak Rezeki
Tong sampah besar sebiji dikunjungi setiap hari mencari rezeki
sehari dia cuti terbuang selori rezeki,dimakan api atau bumi
pernah dia berjumpa sebuah beg plastik berisi wang selaksa milik si cuai yang kaya
tapi hingga kini peristiwa ini masih lagi baginya suatu babak mimpi siang hari.
Hari ini dalam kesibukan kerja biasa
terjumpa dia bungkusan berisi bayi yang tersengih sumbing melihat matanya.
"Ah, yang ini susah nak jual," kuis tangan kirinya lalu ia terusi tugas sehari-hari mengais isi tong mencari rezeki.karya Irwan Abu Bakar (Dewan Sastera, April 2003)


Latihan perbincangan…….

1.Pada pendapat anda apakah tema dan nada sajak ini dan makna eksplisit dan implisit yang hendak disampaikan oleh penyajak kepada pembaca, mengikut pemahaman masing-masing.


2.Apakah yang dimaksudkan dengan rangkai kata “Ah, yang ini susah nak jual”… mengikut penggunaannya dalam sajak tersebut.


3.Apakah pengajaran yang boleh diperolehi melalui sajak “Menolak Rezeki” ini.



Tema 'kemanusiaan' dengan nada yang agak sinis.

Makna Eksplisit:

Secara rambang puisi ini menceritakan watak utama seorang 'dia' yang kerjanya saban hari adalah berada di tempat pembuangan sampah.

Tidak lain hanya menyelongkar timbunan sampah-sarap; demi mencari benda-benda atau barang-barang buangan yang masih boleh diguna pakai, kemudian untuk dijualkan kepada peraih(karung guni).

Pernah sekali 'dia' menjumpai sebungkus wang terbungkus dalam beg plastik yang berkemungkinan telah tercicir atau terbuang oleh seseorang(dikenali sebagai 'si cuai yang kaya).

Kemudian, seperti hari-hari biasa juga, 'dia' kembali mencari sesuatu benda yang berharga di tempat pembuangan sampah tersebut. Lalu secara tidak sengaja, 'dia' terjumpa seorang bayi (dalam bungkusan dan bayi itu tersenyum kepada 'dia') tetapi tidak diendahkannya. Kerana 'dia' menganggap bayi itu sukar untuk diniagakan (susah untuk dijual). 'Dia' kemudian kembali meneruskan pencarian(rezekinya) tanpa peduli atau menghiraukan hal-hal yang lain.


Makna Implisit(tersirat)

Sajak yang berupa kritikan sosial dalam masyarakat.

Perlambangan tong sampah merupakan satu perlambangan yang jijik dan meloyakan tekak dan biasanya dengan pemandangan yang amat menyakitkan mata .

Secara tersirat TONG SAMPAH BESAR itu mungkin mewakili sebuah kompleks pelacuran , kawasan pelacuran ataupun komplek perjudian ataupun untuk nilai “ universal “ atau “world view” nya mungkin seluruh penghuni dunia ini dan isi-isinya sekarang yang banyak dan kucar-kacir dan berkiblatkan harta-benda ( kalau di Kuala Lumpur semua orang tahu di mana terletaknya kawasan “ sampah “ tersebut ) .

Tong sampah yang besar itu mengumpulkan pelbagai jenis kelas masyarakat. Ada yang menjadi pelacur (sampah ) ada yang menjadi penagih dadah (sampah ) ada yang menjadi gangster (sampah) penipu (sampah) pemeras ugut (sampah) pondan / bapok / bohjan / bohsia untuk mencari kepuasan seks (sampah) penjudi (sampah masyarakat dan pelbagai lapisan sampah lagi golongan masyarakat sampah.

Jawapan 2:

rangkai kata 'yang ini' yang dimaksudkan kepada 'bayi' yang dijumpai oleh 'dia' itu.

Memang pun (kalau kita) memang tidak kita jual, malah kita ambil dan serahkan kepada Pejabat Kebajikan Masyarakat atau buat laporan polis.

sebagai manusia biasa mungkin akan timbul rasa tidak tergamak untuk melakukan kerja 'berjual-beli manusia' itu(secara normal dan logik akal).

Tetapi berlainan pula kepada watak 'dia' yang lebih mementingkan 'perut'nya dan kerjanya agar biar menjadi mudah dan tidak menyusahkannya di kemudian hari.


3.Pengajaran
Sifat materialistik manusia menyebabkan kuasa 'wang‘ menjadi lebih kuat kesannya kepada manusia jika dibandingkan dengan 'seorang bayi' yang belum tentu lagi mendatangkan keuntungan secara material, terutama kepada watak 'dia' ini.

Sifat kemanusiaan perlu ada dalam diri setiap manusia. watak 'dia' ini membawa contoh atau mewakili manusia yang zalim, tidak berperikemanusiaan, dan hanya mementingkan kebendaan dan ternyata apabila dia tidak menolong bayi tersebut.


‘Jiwa Hamba,’ Oleh Usman Awang


Termenung seketika sunyi sejenak kosong di jiwa tiada penghuni hidup terasa diperbudak-budak hanya suara melambung tinggi berpusing roda beralihlah masa berbagai neka hidup di bumi selagi hidup berjiwa hamba pasti tetap terjajah abadi kalau hidup ingin merdeka tiada tercapai hanya berkata ke muka maju sekata maju kita melemparkan jauh jiwa hamba Ingatkan kembali kata sakti, dari bahang kesedaran berapi di atas robohan Kota Melaka Kita dirikan jiwa merdeka’

Sajak ini menyeru masyarakat Melayu Malaysia agar membebaskan jiwanya. Kata Usman Awang, “hidup terasa diperbudak-budak / hanya suara melambung tinggi,” sedang suara itu tidak langsung mendapat perhatian pihak yang berkenaan. Hal ini disebabkan ‘jiwa hamba’ yang menebali diri. Kata Usman Awang lagi, selagi kita berjiwa hamba maka hidup kita akan terus dijajah. Justeru, beliau menyeru agar orang-orang Melayu bangkit daripada kesilapan masa lampau, yang dalam sajak ini, ditandai dengan kejatuhan Kota Melaka. Seruan Usman Awang itu merupakan usaha mengembalikan kedaulatan dan kesakralan bangsa. Kedaulatan dan kesakralan itu tentunya mengambil contoh kegemilangan yang pernah dicapai pada zaman Kesultanan Melayu Melaka.
Apabila Usman Awang menyeru orang-orang Melayu agar membebaskan jiwa daripada belenggu penjajahan bererti beliau mengajak orang-orang Melayu agar membuang jauh sikap dan paradigma yang menyekat kemajuan diri. Jika seruan itu disedari pembaca, diikut dan diteladani, maka seruan itu telah mendatangkan kebijakan atau hikmah yang membijaksanakan. Individu berkenaan akan merasai betapa nikmatnya kemerdekaan jiwa, sebagaimana diwarwarkan oleh Malaysia menjelang sambutan 50 tahun kemerdekaan. Idealisme sajak ini bermula daripada kesedaran jiwa Usman Awang yang diterapkan ke dalam karya untuk dikongsi dan diteladani oleh pembaca.


Latihan kefahaman 1.

Di Rumah Cinta setiap kali ku kunjungi rumah cinta ini kurasakan pintu takwa semakin membukakan sinar makna kandil wahyu titian keagungan-Mu........... (Dharmawijaya,1992)
Soalan:
Alih bentuk bahasa yang berikut kepada bentuk prosa bahasa Melayu moden.


Latihan kefahaman 2.

Pembersihan
Karya Rahman Shaari

mereka perjuangkan kebersihan kota mengimbangi cantiknya bangunan batu dan banyaknya kenderaan lalu.
tapi lihatlah, di celah rimbunan kemajuan ini betapa kering daun peribadi rebah budaya oleh kasar kota.

seorang penjual air tebu telah dirampas balang rezekinya ia mengotorkan kota: ini jalan bukan untukmu.

kalaulah si miskin semuanya mati bertambah bersihlah kota ini.



1.Apakah maksud yang hendak disampaikan oleh penyajak dalam sajak “Pembersihan” ini?

2.Apakah yang dimaksudkan oleh penyajak dengan rangkai kata:
a.di celah rimbunan kemajuan ini
b.betapa kering daun peribadi
c.rebah budaya oleh kasar kota.

3.Apakah pengajaran yang boleh diperolehi menerusi sajak ini?

1 comments:

Unknown said...

jawapan????

Post a Comment